.

 

Dilema politik Kedah

Sunday, November 22, 2009

Oleh Zulkiflee Bakar


MUNGKIN kalau mahu menyedapkan hati, tidak salah jika ada mana-mana pihak buat seketika menerima sahaja kenyataan UMNO Kedah yang menolak andaian wujudnya kumpulan dan puak tertentu dalam parti berkenaan sehingga menyebabkan parti itu di negeri tersebut berpecah belah.

Malah tidak salah juga jika kita menerima dengan hati terbuka kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah bahawa, semua pemimpin dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) khususnya di peringkat bahagian termasuk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sentiasa memberi sokongan kepada pucuk pimpinan termasuk Pengerusi badan itu, Datuk Seri Shafie Apdal.

Tetapi UMNO Kedah tidak boleh menghalang kalau orang bertanya apakah kenyataan itu sekadar retorik atau realiti dan lebih daripada itu, apakah sindrom penafian masih wujud di kalangan pemimpin parti tersebut biarpun kini mereka sudah kehilangan kuasa?

Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO Kedah berhak menolak sebarang andaian atas alasan ia ‘‘cuma persepsi orang yang mungkin tidak berada dalam parti’, tetapi mereka tidak mampu menyembunyikan fakta.

Dalam soal ini, selain maklumat yang diterima dan tinjauan yang dibuat, penulis berkesempatan mengetahui situasi sebenar politik di Kedah termasuklah peluang untuk UMNO kembali berkuasa. Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sememangnya berpeluang untuk merampas semula negeri itu daripada Pas seperti mana kata seorang pemerhati politik, peluang BN ialah 60-40 bukan 50-50.

Tetapi semua itu bergantung kepada keikhlasan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah untuk mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Masalah yang paling ketara menurut pemerhati politik tersebut ialah di peringkat bahagian. Atas sebab itulah, pemerhati berkenaan menolak sebarang andaian untuk meletakkan sebarang kelemahan atau kesalahan kepada Shafie Apdal.

‘‘Kalau orang tahu apa sebenarnya berlaku di bahagian-bahagian UMNO di Kedah, mereka akan memahami siapapun yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, ia tidak akan berkesan.

‘‘Ia kerana bahagian-bahagian UMNO di Kedah sangat lemah, justeru tidak wajar kalau kita hendak menyalahkan Shafie. Beliau hanya dihantar oleh pucuk pimpinan bagi membantu tetapi sama ada akan berjaya atau tidak ia terletak kepada bahagian-bahagian UMNO menentukannya,’’ kata pemerhati politik tersebut.

Dalam soal ini, semua pemimpin UMNO di Kedah harus bertindak jujur, mereka perlu mengakui daripada 15 bahagian di negeri itu hampir kesemua ada masalah. Sikap berpuak-puak, cantas-mencantas dan pergelutan antara kumpulan yang ingin merebut jawatan ketua bahagian telah memungkinkan bahagian-bahagian UMNO berada dalam situasi yang cukup lemah. Oleh itu menuding jari kepada Shafie adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar dan boleh diibaratkan hanya mahu menutupi kelemahan di peringkat bahagian.

‘‘Kebanyakan ketua bahagian hanya menguasai satu pertiga atau satu perenam sahaja bahagian masing-masing, lainnya semua di luar kawalan mereka,’’ kata pemerhati itu lagi.

Jika keadaan ini berlanjutan maka adalah mustahil bagi mana-mana juga pengerusi perhubungan untuk melaksanakan usaha bagi mengukuhkan parti dan seterusnya berhadapan dengan parti lawan dalam pilihan raya.

Akibat kelemahan di peringkat bahagian itu juga yang menjadi faktor utama kenapa sehingga ke hari ini, UMNO Kedah dilihat tidak berupaya untuk memberi sebarang cabaran bagi merampas kembali negeri itu daripada Pas.

Selesa

Sama ada hendak diakui atau tidak, adalah jelas walaupun apa juga yang dikatakan oleh UMNO dan BN Kedah kepada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas, namun di kalangan rakyat mereka dilihat semakin selesa dengan situasi sekarang. Dalam bahasa mudah, bak kata orang Kedah, ‘‘Biaq (biar) Pas perintah, tak dak masalah pun.’’. Mungkin kenyataan seumpama ini tidak disenangi oleh sesetengah pemimpin-pemimpin Kedah tetapi inilah realitinya selepas hampir 20 bulan, negeri Jelapang Padi itu berada dalam penguasaan Pas.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Pas Kedah dikatakan semakin mendapat perhatian rakyat. Malah sikap Azizan yang sentiasa tenang dan tidak melakukan sebarang perubahan drastik yang boleh memaparkan kegelojohan apabila berkuasa seperti mana berlaku di Perak dan Selangor turut memberi kelebihan kepada kerajaan negeri pimpinan beliau.

Berdasarkan hakikat itulah, jika UMNO Kedah masih lagi dihinggapi dengan sindrom penafian dan membiarkan kelemahan di peringkat bahagian berterusan, percayalah apa yang berlaku di Kelantan akan berulang di negeri tersebut.

Dahulu UMNO Kelantan juga sering menafikan bahawa mereka berpuak-puak, malah setiap kali isu perpecahan dibangkitkan mereka menuduh media mempunyai agenda. Tetapi realiti di lapangan menunjukkan apa yang diperkatakan adalah satu kebenaran dan kesudahannya sejak tahun 1990 hinggalah sekarang Pas terus menguasai Kelantan.

Malah suatu ketika berikutan kekalutan yang berlaku dalam UMNO Kelantan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Presiden UMNO turut menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Tetapi keadaan tidak berubah, Kelantan tetap gagal dirampas kembali oleh UMNO kerana pemimpin-pemimpin negeri itu terus bercakaran sesama sendiri.

Persoalannya apakah UMNO Kedah juga hendak membiarkan situasi ini berlaku di negeri mereka? Justeru bagi mengelakkan semua itu mahu tidak mahu pemimpin- pemimpin UMNO Kedah perlu berjiwa besar.

Mereka mesti bersikap terbuka untuk menerima teguran dan janganlah terlalu mudah melihat sebarang kritikan sebagai usaha menjatuhkan mana-mana pemimpin. Paling penting mereka harus memberi sokongan padu kepada Shafie dalam usaha memperkukuhkan UMNO negeri itu.

Shafie memerlukan sokongan padu yang sebenar-benarnya dan bukannya lakonan dalam usaha memastikan Kedah kembali ke pangkuan BN.

Keputusan pucuk pimpinan parti menghantar Shafie ke Kedah bukanlah tanpa alasan sebaliknya seperti mana kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir kehadiran Naib Presiden UMNO itu adalah tepat pada masanya.

‘‘Beliau terlibat secara langsung dalam menawan semula Sabah ketika menjadi pembangkang. Kita perlukan pengalaman beliau bagi memikirkan strategi dan pendekatan terbaik bagi menawan semula Kedah. Pada masa yang sama saya melihat bapa saya sentiasa sedia untuk membantu UMNO negeri dan pusat.’’ kata Mukhriz.

Selain berganding bahu dengan Shafie, pemimpin-pemimpin UMNO Kedah juga harus mengakui bahawa ada masalah di peringkat bahagian-bahagian, kalau pun fakta ini dinafikan tetapi rakyat di kawasan terlibat mengetahui kedudukan sebenar.

Mereka juga perlu bersedia untuk menerima perubahan kepimpinan termasuklah memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda untuk menerajui negeri itu.

Sekali lagi penulis mendapati sentimen yang mahukan Mukhriz kembali menjadi salah seorang pemimpin utama di Kedah cukup kuat.

‘‘Mukhriz harus berkorban, beliau perlu berkhidmat di Kedah biarpun sepenggal, apabila situasi sudah pulih dan UMNO Kedah sudah mantap, Mukhriz boleh meneruskan perjuangan di peringkat pusat.

‘‘Situasi politik di Kedah memerlukan pemimpin muda seperti beliau yang dilihat mempunyai karisma dan mampu menarik perhatian rakyat negeri itu untuk kembali menyokong UMNO dan BN,’’ kata seorang penganalisis politik ketika dihubungi.

Penulis difahamkan pada masa ini memang terdapat ramai pemimpin muda yang mula menonjolkan diri di bahagian- bahagian tetapi malangnya kehadiran mereka tidak begitu senangi sehingga berlaku cantas-mencantas.

Semua ini tidak akan menguntungkan UMNO dan BN, sebaliknya ia akan mengakibatkan parti itu akan ketandusan barisan pelapis yang akhirnya akan mengakibatkan ia berkubur begitu sahaja.

‘‘Mahu tidak mahu seperti juga di Terengganu, pucuk pimpinan UMNO perlu mencari daripada sekarang siapa bakal Menteri Besar Kedah kalau parti itu kembali memerintah.

‘‘Strategi ini penting dalam meyakinkan rakyat untuk menyokong BN,’’ kata seorang pemimpin veteran parti itu.

Apa pun keadaannya, adalah diharapkan UMNO Kedah akan terus bersikap terbuka dalam memperbaiki pelbagai kelemahan yang mereka miliki.

Dalam soal ini, perkara paling utama ialah bersikap ikhlas dan tidak bersikap hipokrit apatah lagi terus mengamalkan sindrom penafian. Jika sikap negatif itu berterusan, percayalah tidak mustahil panji-panji Pas akan terus tertegak di negeri tersebut seperti mana terjadi di Kelantan ibarat ‘pi mai pi mai tang jugak’.


Dari www.utusan.com.my

PANAS!

Thursday, November 19, 2009


Persidangan DUN negeri Kedah ditangghkan sehingga Ahad ini disebabkan oleh keadaan Dewan yang agak panas kerana masalah penghawa dingin yang tidak berfngsi dengan baik.


Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengumumkan penanggguhan itu selepas menerima cadangan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk menangguhkan persidangan hari ini, yang disokong Datuk Phahrolrazi Zawawi (PAS-Pengkalan Kundor).


"Peristiwa ini pertama kali berlaku, memandangkan keadaan dewan yang panas, saya menangguhkan sidang dewan ini pada hari Ahad (22 Nov)," katanya.



Apakah panas sangat ka dewan sehingga terpaksa membatalkan perbahasan berkaitan dengan keperluan rakyat? Atau mungkin Ketua Pembangkang juga berfikiran seperti YB-YB Kerajaan? 


Sepatutnya sediakan kipas angin jika YB-YB amat ambil berat tentang rakyat dan segera membahaskan apa-apa keperlan rakyat. Apalah yang lebih penting selain rakyat?


Mungkin selama ini tiada isu panas dalam dewan sehingga semua YB tidak pernah merasa panas dan apabila air con rosak sedikit mereka sudah tidak tahan dengan kepanasan sekitar?


Sekali sekala saya rasa biarlah kita rasa macamana petani-petani yang berjemr kepanasan di tengah bendang. Jangan asyik nak selesa saja.

KEKOSONGAN DUN KOTA SIPUTEH

Tuesday, November 17, 2009


Mahkamah Tinggi mengistiharkan yang DUN Kota Siputeh, Parlimen Jerlun perlu dikosongkan kerana Datuk Abu Hassan tidak hadir persidangan DUN dua kali berturut-turut. Sehingga kini pihak SPR dan UMNO dikatakan akan membuat rayuan penangguhan hukuman supaya dapat dibuat Rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pembukaan Persidangan DUN Kedah hari ini, gambar dan nama ADUN Kota Siputeh telah dibuang dari kerusi yang didudukinya.

Siapakah yang layak untuk menjadi calon yang sesuai untuk DUN ini? Setakat ini kita masih tidak nampak. Saudara Nobisha ada menyarankan calon yang paling layak. Begitu juga dengan AloqSetaq yang sudah terang-terang mencadangkan Datuk Mukhriz sebagai calon yang palin layak.


Kami di Kedah Times juga merasakan beliaulah yang paling layak.

Kenapa?

1. Setakat ini peribadi dan servis beliau di Parlimen Jerlun amat baik dan diterima akar umbi.
2. Dalam kegawatan politik pun belaiu masih menang dalam PRU12 lalu dengan majoriti yang amat baik.
3. Ketokohan beliau boleh membawa Kedah ke satu era yang lebih cemerlang.
4. PAS akan menghadapi cabaran getir bertemu Datuk Mukhriz

Maka denagn ini kami berseru agar pucuk pimpinan memilih Datuk Mukhriz sebagai calon DUN N3 Kota Siputeh

Kerusi Kota Siputeh Diisytihar Kosong, Mahkamah Perintah Pilihan Raya Baru

Monday, November 16, 2009



KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi di sini pada hari Isnin.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN esok.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.  Seterusnya Baca disini .....
Mungkin kena renung kembali kat mana silapnya. YB Datuk Abu Hassan ni pun bukannya baru dlm DUN, kenapa masih tak tahu prosedur. Mungkin ada hikmahnya diputuskan begini.
Selamat berjuang pejuang UMNO!

KCS Kedah merajuk, Pusat pergilah pujuk..

Saturday, November 14, 2009

Oleh Zaini Hassan


MINGGU lepas saya berehat daripada menulis kolum ini, maka ramailah yang menghubungi saya bertanyakan mana pergi Cuit? Saya berkata saya mahu bebaskan fikiran saya daripada isu-isu yang tengah panas ketika itu

- dalam kain Pas yang sudah mulai terbuka sedikit demi sedikit, isu Dr. Asri - yang semalam dalam akhbar, khabarnya dia mahu masuk politik? Gambar beliau yang disiarkan dengan Nik Aziz mungkin memberi jawapannya? Isu bai'ah dalam Pas dan lain-lain lagi.

Pendek kata macam-macam isu di Malaysia ini. Lepas satu, satu. Ada yang berkata isu perpecahan Pas baru-baru ini yang dicuit oleh Prof. Dr. Aziz Bari 'sengaja' dibuat beliau bagi mengalihkan perhatian rakyat ketika itu daripada kemelut meruncing dalam PKR dan isu Anwar Ibrahim. Saya tidak tahulah sejauh mana hubungan akrab Aziz dengan Anwar dan PKR, tapi setelah tulisannya mengenai soal 'Team Hadi' dan 'Team Nik Aziz' dalam Pas itu meletup, maka isu dalam kain PKR sudah hilang dalam media. Maka selamatlah PKR (sebentar).

Percaya atau tidak, inilah kuasa media. Merekalah yang menggerakkan (maneuvering) sesuatu isu itu ke arah mana ia mahu dibawa. Media sebenarnya ialah 'agenda setter' (penentu agenda). Dalam kajian kewartawanan itulah pun antara peranannya. Tapi, media juga boleh dimanipulasi, jika orang yang mahu mempergunakannya itu bijak, seperti Aziz Bari (mungkin).

Namun, oleh kerana Malaysia ini penuh dengan warna-warninya, pembaca kita sebagai pembeli juga sebenarnya mahukan isu-isu seperti itu - sebagai modal bagi mereka berborak di kedai-kedai mamak malam nanti!

TOLAK ke tepi dulu soal itu, minggu ini, kita akan membincangkan satu isu yang serius melibatkan satu kumpulan perkhidmatan awam yang tertua di Malaysia. Ia adalah Perkhidmatan Tadbir Awam Negeri Kedah atau lebih terkenal dengan panggilan ringkas KCS (Kedah Civil Service).

Memetik kata-kata rakan penulis pak Kadir Jasin dalam blognya akadirjasin.blogspot.com/akadirjasin.com mengenai KCS ini, beliau berkata: "Ia diasaskan oleh kesultanan Kedah lama sebelum British kononnya membawa sistem pentadbiran awam ke Tanah Melayu. Sebab itulah taat setia kepada Raja menjadi tonggak KCS. Kalau zaman saya lepas sekolah dulu, jadi pegawai KSC gerenti dapat bini cantik. Semua nak jadi DO, ADO dan 'Raja Tanah' - Pegawai Pemungut Hasil Tanah."

Uniknya KCS ini, hanya anak negeri sahaja yang boleh menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Kedah. Kini dengan naiknya kerajaan Pas, maka soal lantikan, kenaikan pangkat, skim gaji dan peruntukan dikuasai oleh kerajaan baru itu. Selain Kedah, hanya tiga negeri lain yang mengamalkan sistem seperti itu iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu. Lain-lain negeri pegawai-pegawainya adalah pegawai persekutuan atau PTD yang boleh ditukar di kalangan negeri-negeri tersebut atau balik ke Persekutuan.

Tahun ini KCS genap berusia 100 tahun. Sejak 100 tahun lalu, sehinggalah ke tahun lalu, ia berkhidmat di bawah kerajaan negeri yang menaungi Pusat dan Persekutuan.

Aliran pemikiran pegawai-pegawai KCS ini juga sealiran dan berkiblatkan Pusat dan Persekutuan, walaupun ia bukan pegawai yang didatangkan dari situ. Peruntukan atau arahan-arahan dari Pusat akan terus sampai kepada mereka untuk dilaksanakan.

Selepas pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, pegawai-pegawai KCS ini (tiba-tiba) berada di bawah pemerintahan yang didokong oleh parti pembangkang iaitu, Pas.

Pegawai-pegawai KCS itu kini berada dalam kecelaruan. Hubungan mereka dengan kerajaan Pusat telah terputus. Mereka semacam anak ayam kehilangan ibu. Masing-masing merasakan mereka sudah mulai terpinggir?

Perlu diingat peranan pegawai-pegawai ini amat penting kerana merekalah jentera yang turun ke bawah bertemu rakyat dan menyampaikan amanat kerajaan kepada rakyat. Hati pegawai-pegawai ini perlu dijaga, kebajikan mereka juga perlu dijaga. Bak kata pepatah moden ''jika penyapu yang diberi, maka penyapulah yang akan diterima.''

KCS ini amat strategik dari segi perancangan antara kerajaan (politik) dan pentadbiran awam. Jika orang politik (kerajaan) tidak menjaga mereka dengan baik, kuasa kakitangan awam ini boleh menentukan untung nasib kerajaan itu. Contohnya, menurut kajian bukan ilmiah, didapati jatuhnya negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan ada kaitan sedikit sebanyak dengan peranan dan pengaruh kakitangan awam.

Dalam konteks Kedah, reaksi segera Pusat selepas kejatuhan negeri itu ialah ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi memastikan agihan dan projek pembangunan kerajaan Pusat dapat disalurkan tanpa ada diskriminasi atau diambil kesempatan oleh kerajaan negeri pembangkang.

Namun wujud satu senario yang serius di mana peranan KCS contohnya institusi yang dihormati rakyat, DO atau Pegawai Daerah (perlu disebut: DO ini juga ialah Pegawai Pengurus (RO) dalam satu-satu pilihan raya), Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan hubungannya dengan kerajaan Pusat seperti telah terputus.

Menurut seorang pegawai tinggi kerajaan Kedah: ''Baru setahun bertukar kerajaan, KCS seakan terpinggir, tidak dipedulikan lagi.''

Persepsi ini diburukkan lagi melalui tanggapan sesetengah wakil rakyat UMNO bahawa kononnya KCS kini mulai beralih arah dengan menyokong kerajaan pembangkang Pas. Walhal apa yang berlaku menurut pegawai itu ialah: ''pendekatan politik dan 'political engagement' antara UMNO, BN dan kerajaan Pusat dengan KCS kini jauh kosong dan menyebabkan KCS hilang arah.

''Orang UMNO dan BN dan Pusat mulai menjauhkan diri daripada kami dan bukan sebaliknya. Persepsi orang-orang ini adalah salah, meleset dan mengelirukan kerana sejak PRU 1959 sehingga 2008, keupayaan BN memerintah Kedah bukankah akibat dokongan dan hasil kerjasama dan sumbangan daripada KCS?

''Kenapa isu ini dialihkan, sedangkan faktor kekalahan BN dalam PRU 2008 adalah akibat sumbangan daripada banyak petunjuk-petunjuk lain,'' katanya kepada saya baru-baru ini.

Ternyata kekecewaan pegawai-pegawai KCS ini adalah nyata dan benar. Jika pihak-pihak tertentu tidak melakukan sesuatu dengan cepat, UMNO dan BN jangan harap untuk mendapatkan semula Kedah.

Contoh yang nyata ialah Kelantan. Selepas Pas memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1990, Perkhidmatan Awam Kelantan (Kelantan Civil Service) yang berkhidmat dengan setia selama 18 tahun di bawah BN diketepikan dengan tertubuhnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sama seperti JPP di Kedah.

Hubungan pegawai-pegawai Kelantan dengan Pusat terputus sama sekali. JPP telah 'memutuskan' hubungan itu. Pegawai-pegawai awam Kelantan dianggap musuh kepada Pusat dan tidak boleh dipercayai lagi. Hasilnya, Pas kekal memerintah negeri itu 19 tahun sehingga kini.

Sebenarnya apabila kerajaan Pusat merasmikan bangunan baru Jabatan Pembangunan Persekutuan di Alor Setar tidak lama dulu, kerajaan Pas ketawa besar kerana mereka berasakan pegawai-pegawai KCS akan terputus hubungan sama sekali dengan Pusat. Itulah yang mereka mahu bagi membolehkan mereka memanjangkan tempoh pemerintahan negeri itu.

Pas Kedah sebenarnya belajar dari Kelantan. Apabila JPP ditubuhkan, secara automatik cengkaman mereka ke atas kakitangan awamnya menjadi lebih kuat. Perkhidmatan awam berdiri teguh di belakang kerajaan Pas dan menyerahkan taat setia kepada mereka. Pas sedar bahawa kuasa kakitangan awamlah yang akan menentukan kesinambungan pemerintahan mereka.

Oleh itu, UMNO dan BN haruslah berfikir caranya untuk menguasai semula hati pegawai-pegawai dan kakitangan KCS ini secara langsung dan tidak langsung.

Jika UMNO dan BN serta kerajaan Pusat dapat mencari satu pendekatan politik yang berhemah, tidak mustahil peranan KCS dapat dikembalikan sebagai 'kumpulan majoriti senyap' dan 'barisan hadapan' yang berpengaruh di kalangan rakyat setempat bagi mengembalikan semula pemerintahan negeri itu. Masanya masih ada, apa yang perlu dilakukan ialah fikirkan modus operandi dan kaedah pelaksanaannya - cepat!

DR.XAVIER MASUK MASJID, BUKAN MASALAH UMNO SAHAJA

Tuesday, November 10, 2009


Apabila Dr. Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja menyelar ahli-ahli UMNO yang kurang senang dengan tindakan AJK Masjid Ar-Rahimiyyah, menjemput ADUN Kota Raja, Dr.Xavier ke ruang solat masjid berkenaan untuk memberi kata-kata aluan sebagai tidak memahami hukum-hakam agama, Dr. Siti Mariah sendiri sebenarnya mendedahkan dirinya yang cukup baghal dalam hukum-hakam agama, terutama bab-bab yang berkaitan adab memasuki masjid atau lebih tepat lagi ruang solat di masjid.

Dengan alasan yang diberikan adalah berdakwah, ternyata Dr.Siti Mariah memilih untuk memancung kepalanya sendiri kerana alasan tersebut tidak mempunyai nas, dalil mahupun usaha zahir daripada pihak PAS sebaliknya sekadar kosmetik untuk menghalalkan perbuatan mereka.

Apakah Dr.Siti Mariah ingin mengatakan bahawa ulama-ulama muktabar yang melarang golongan kafir memasuki masjid sebagai UMNO juga? Atau Dr.Siti Mariah sebenarnya hanya memilih untuk mengikut pandangan ulama-ulama yang sealiran dengan perjalanan nafsu dan siasah parti politik yang diwakilinya?

Sebenarnya wujud perbezaan pendapat yang amat ketara dari kalangan ulama dalam masalah ini selain daripada kesepakatan para ulama tentang pengharaman golongan kafir daripada memasuki Masjidil Haram di Makkah kecuali atas perkara-perkara tertentu seperti darurat, meminta air dan sebagainya.

Ulama-ulama mazhab Hanafi mengharuskan orang bukan Islam masuk ke masjid bersandarkan kepada riwayat tentang Bani Thaqif dan Thumamah bin Uthaal.

Ulama-ulama mazhab Syafie pula mengharuskan orang bukan Islam memasuki masjid dengan keizinan orang Islam melainkan Masjidil Haram dan semua masjid yang berada di Tanah Haram. Ini juga merupakan satu riwayat daripada Imam Ahmad dan sebahagian ulama mazhab Hambali menyatakan inilah pandangan mazhab Hambali.

Imam Ahmad berpandangan bahawa haram orang yang bukan Islam memasuki masjid menerusi salah satu daripada riwayat daripadanya. Antara hujahnya, jikalau orang berhadas, berjubub dan wanita haid dilarang daripada menetap di dalam masjid, maka orang musyrik yang sememangnya berhadas itu lebih utama untuk dilarang.

Manakala pandangan ulama-ulama Mazhab Malik pula, mengharamkan orang bukan Islam daripada memasuki masjid melainkan jikalau ada keperluan.

Perbezaan pandangan ini merupakan satu hikmah daripada Allah Taala untuk hamba-hamba-Nya yang menyahuti seruan Islam dan berkalimah toiyibbah. Apabila golongan seperti Dr.Siti Mariah Mahmud menyatakan, golongan yang tidak sealiran pandangan dengannya sebagai jahil dalam hal hukum-hakam agama, sesungguhnya dia sendiri yang sangat jahil. Dalam hal ini, Dr.Siti Mariah seharusnya menyediakan hujahnya dan bersedia untuk mendengar hujah daripada golongan yang mengadu kepada JAIS tentang penyelewengan kuasa AJK Masjid Ar-Rahimiyyah. Bukan setakat mematikan mereka dengan hujah jahil ilmu.

Manakala golongan UMNO yang membuat aduan dan tidak senang dengan kehadiran Dr.Xavier di ruang solat masjid berkenaan, juga seharusnya menyediakan hujah-hujah bersandarkan dalil dan nas, bukan setakat berpegang kepada pandangan orang ramai atau majoriti seperti yang termaktub dalam rukun DEMOKRASI BERPARLIMEN.

Dr.Siti Mariah mempunyai ruang yang mencukupi untuk memberikan dalil-dalil tentang kebenaran orang bukan Islam berada di ruang solat untuk memberi ucapan yang sudah pastinya berkisar tentang hal-hal politik setempat menerusi blognya.... http://drsitimariah.blogspot.com/


Cucu Tok Wan - ehsan depa-kata.blogspot.com

Muslimat PAS yang sungguh SETIA!


Depakata bertuah sungguh PAS mendapat barisan kepimpinan Muslimat yang amat SETIA kat parti.Ketua Dewan Muslimat bersetuju bahawa amalan bai'ah itu dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.Bagaimana pulak nasib isteri-isteri YB PAS tersebut?adakah mereka merelakan diri mereka menjadi galang ganti kepada kuasa politik yang PAS terlalu dahagakan selama ini?Ketua Dewan Muslimat PAS jugak berkata "Kami sangat setuju dengan bai'ah ini, ikrar ini bukan bermakna mereka tidak sayang tetapi satu istiqamah terhadap parti, perjuangan ini satu amanah."Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti... sama kasihnya," naib Ketua Dewan Muslimat pula kata dengan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

Depakata memang macam ni lah contoh isteri-isteri orang PAS yang sentiasa redha dengan tindakan suami mereka yang tersangat bijak perjuangan. Depakata baguih jugak masa bai'ah tu dilafazkan ayat yang berbunyi "isteri-isteri",sekurang-sekurangnya,semua isteri YB PAS tu termasuk dalam senarai,kalaulah depa sebut isteri saja,isteri yang nombor berapa agaklah yang bakal menjadi mangsa kan?

Ehsan Depa-kata.blogspot.com

 
 
 

Nasional

Rencana

Agama

 
Copyright © Kedah Times